Saturday, June 5, 2010

SUSU GADIS = SUSU IBU

BENAR. Wanita bujang pun boleh menyusukan bayi secara alami. Mungkin ramai yang tidak menyedarinya sebelum ini.Dan mungkin juga, ramai yang kurang arif bahawa untuk membolehkan laktasi dan penyusuan ibu, seseorang wanita itu tidak semestinya mengalami proses kehamilan terlebih dahulu. Begitu juga ia tidak memerlukan ovari berfungsi. Malah hakikatnya, proses merembeskan susu oleh kelenjar-kelenjar mamari payudara (laktasi) dalam kes-kes penyusuan anak angkat oleh wanita bujang, adalah ringkas sahaja.Sebelum pergi lebih jauh, mari kita fahami terlebih dahulu bagaimana proses pengeluaran susu berlaku.“Pengeluaran susu bergantung kepada keperluan dan penghisapan bayi. Anak saraf dalam puting anda dirangsang bila bayi anda menetek.“Seterusnya, satu isyarat dihantar ke otak anda yang menyebabkan pengeluaran hormon prolaktin. Hormon ini memulakan pengeluaran susu di dalam payudara anda,’’ kata Dr. Shah Reza Johan Noor.Menurut Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan di Hospital Universiti Sains Malaysia itu lagi, semakin kerap bayi menetek, semakin banyak hormon prolaktin yang dikeluarkan. “Dan lebih banyak hormon, bermakna lebih banyak susu yang terhasil. Apabila bayi menetek, ini akan merangsangkan pengeluaran hormon oksitosin yang menyebabkan susu mengalir.“Walau bagaimanapun, proses yang mudah lagi semula jadi ini tidak akan berjaya sekiranya kurang yakin dengan keupayaan diri untuk menyusu atau cemas dan mengalami tekanan,’’ ujar beliau.Jadi, bagaimana mungkin laktasi yang dirangsang atau digalakkan itu boleh berlaku di kalangan wanita bujang atau yang telah berkahwin tetapi tidak subur atau mandul?“Dalam erti kata yang mudah, rangsangan pada puting dan rangsangan menghisap menyebabkan payudara menghasilkan susu.“Ini ditambah dengan keinginan si ibu angkat yang meluap-luap untuk menyusukan bayi setelah tidak berpeluang mengalami perasaan yang istimewa mengandungkan zuriat sendiri,’’ katanya.Sekurang-kurangnya, tambah Dr. Shah Reza, mereka teruja kerana mempunyai hubungan intim dan istimewa yang terjalin dan sukar digambarkan semasa si ibu angkat menyusui bayi mereka.Bagaimanapun, keberkesanan pengeluaran susu turut bergantung kepada keadaan fizikal serta daya tahan wanita terbabit.“Apa yang penting adalah jangkaan yang realistik kerana sesetengah ibu angkat mungkin tidak dapat menghasilkan bekalan susu yang mencukupi.“Sesetengahnya menghasilkan susu yang sedikit manakala yang lainnya pula banyak dan ada yang langsung tidak berupaya mengeluarkan susu,’’ katanya.Ia bergantung kepada banyak faktor seperti usia bayi, sejauh manakah keberkesanan dan kekerapan anda merangsang payudara dan tindak balas seseorang terhadap rangsangan memandangkan kimia tubuh unik bagi setiap individu.Walaupun kini terdapat beberapa rejimen yang menggunakan terapi hormon bagi membantu penghasilan susu badan, namun masih ramai juga wanita yang menggalakkan laktasi menggunakan rangsangan mekanikal sahaja.Antaranya termasuklah dengan cara mengurut payudara, merangsang puting susu dan menghisap – sama ada menggunakan perantaraan bayi sendiri mahupun dengan bantuan alat-alat seperti pam payudara manual atau elektrik.“Sesetengah ibu perlu menggunakan pam payudara untuk merangsang pengeluaran susu manakala sesetengah yang lainnya pula, sekadar meletakkan bayi di pangkuan, itu sudah boleh mengeluarkan susu.“Seelok-eloknya, wanita mula merangsang puting dan payudara mereka menggunakan kombinasi urutan lembut dan bantuan alat- alat laktasi dua minggu sebelum kedatangan bayi,’’ kata Dr. Shah Reza.Jadual rangsangan lazimnya bermula dengan urutan selama beberapa minit dan mengepam beberapa kali sehari.Secara beransur-ansur, bilangan rangsangan ditingkatkan sehinggalah mereka mengepam payudara selama 10 minit, lapan hingga 10 kali sehari.Selepas urutan dan pam dimulakan, ubat- ubatan boleh membantu rangsangan payudara untuk meningkatkan penghasilan susu yang lebih banyak.“Umumnya, terapi hormon untuk menggalakkan susu adalah dengan memberikan suntikan estrogen dan progesteron bagi menyerupai tahap estrogen yang tinggi semasa hamil.“Kemudian, ubat-ubatan tersebut akan dikeluarkan semula. Ia bertujuan ‘menipu’ tubuh badan wanita berkenaan seolah-olah, tidak lama lagi seorang bayi akan dilahirkan,’’ kata Dr. Shah Reza.Seterusnya, mereka akan diberikan bahan perangsang susu yang perlu diambil di antara tujuh hingga 14 hari. Beliau turut mengingatkan agar wanita mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu sebelum memulakan rawatan bagi memantau apa-apa kesan sampingan yang mungkin timbul.Bagaimanapun, kesan sampingannya tidak ketara kecuali dalam sesetengah kes, wanita mungkin mengalami kekakuan anggota.“Proses pengambilan ubat perlu dipantau kerana tempoh dan dosnya adalah berbeza di antara seseorang individu dengan yang lain.“Contohnya, wanita yang mempunyai berat badan yang lebih kurang tidak boleh diberikan dos yang tinggi kerana dibimbangi kesan sampingannya juga berlebihan,’’ katanya.Mengulas lanjut, dalam tempoh seminggu memulakan proses berkenaan, kebanyakan wanita akan teruja apabila mendapati mereka sudah mula menghasilkan titisan susu di samping beberapa perubahan lain.Misalnya, payudara terasa bertambah penuh dan berat manakala areola iaitu kulit yang berada di sekeliling puting menjadi semakin gelap. Sesetengah wanita juga mungkin terhenti putaran haidnya.Dr. Shah Reza berkata, tiada pil khas yang boleh mengeluarkan susu badan secara langsung. Bagaimanapun, kesan sampingan penghasilan susu badan ini diperoleh setelah seseorang itu mengambil pil menahan muntah dan antikemurungan.Keadaan itu disebabkan oleh peningkatan paras hormon di dalam darah wanita sekali gus merangsang puting susu wanita menonjol.Ditanya mengenai kuantiti susu yang boleh dibekalkan oleh si ibu kepada bayi angkatnya, kata Dr. Shah Reza, ia boleh berterusan sehingga dua tahun lamanya sekiranya payudara menerima rangsangan berterusan dan bayi terus menetek.Prosedur untuk menghasilkan susu yang sama seperti di atas boleh diulang kembali beberapa tahun kemudian sekiranya wanita berkenaan ingin menyusukan bayi yang lain pula.Dari segi zat dan kualiti susu badan yang terhasil daripada pengambilan pil penggalak itu jika dibandingkan dengan susu yang dihasilkan oleh wanita hamil, ia sama sahaja.Mengapa susu ibu paling sesuai untuk bayi* Ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar* Susu ibu khasnya kolustrum mengandungi bahan-bahan antibodi yang boleh melindungi bayi daripada jangkitan kuman dan alahan seperti cirit-birit, bronkitis dan radang paru-paru* Susu ibu juga mencegah penyakit seperti lelah dan sakit perut bayi* Susu ibu mengandungi zat khusus yang penting untuk perkembangan otak* Ia mengurangkan risiko pencemaran yang mungkin berlaku dalam kaedah penyusuan lain* Berbeza daripada susu lain, susu ibu boleh diperoleh dengan mudah pada bila-bila masa. Jadi tiada masalah membancuh atau memanaskannya sebab ia sentiasa berada pada suhu yang sesuai* Memberikan bayi keselesaan dan ketenangan emosi yang diperlukan* Menjalinkan hubungan kasih sayang yang lebih mesra di antara bayi dan ibunya, berbanding dengan cara penyusuan lain* Bagi wanita Muslim yang mengambil anak angkat pula, ia akan menjadi ibu susuan dan muhrim kepada anak itu.*Pemakanan anda bila menyusuPemakanan anda adalah penting terutamanya bila menyusu. Bayi akan membesar dengan cepat bergantung sepenuhnya kepada susu anda.Sebenarnya, badan anda dapat menghasilkan susu dengan baik sekali. Malah, ia seolah-olah menjimatkan tenaga daripada biasa sepanjang tempoh anda menyusu. Jadi, anda sebenarnya tidak perlu makan untuk dua orang.Namun, anda memerlukan makanan yang seimbang untuk memastikan anda mendapat protein, kalori, vitamin dan mineral yang mencukupi untuk keperluan anda serta bayi.

No comments:

Post a Comment